Islam juga memberi panduan kepada kaum wanita dalam memilih bakal suami mereka. Hal ini disebabkan aspek memilih jodoh bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah. Ia tidak boleh dilakukan dengan terburu-buru atau tanpa penilitian yang mendalam. Ini disebabkan perkahwinan melibatkan soal kehidupan, zuriat, hak, tanggungjawab dan kasih sayang yang bakal kita jalani bersama dengan pasangan.
Lebih-lebih lagi bagi seorang wanita, ia perlu menyelidik terlebih dahulu latar belakang bakal suaminya dari segi akhlak serta penghayatan agamanya. Ini kerana menurut kajian, kaum wanitalah yang paling teruk menerima kesan buruk apabila suami mengabaikan hak isteri, tidak mempergauli isteri dengan baik, curang, tidak melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga dan sebagainya.
Adalah menjadi kewajipan ibu bapa memberikan panduan yang baik bagi anak-anak perempuan mereka mencari bakal suami dari kalangan lelaki yang berakhlak tinggi dan taat pada ajaran agama. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jika seorang lelaki datang untuk meminang anak perempuan kamu dan kamu redha (berpuas hati) tentang agama dan akhlaknya, maka nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu tidak kamu lakukan, akan berlakulah fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar”.
0 ulasan:
Catat Ulasan